Berita Taska

KUALA LUMPUR 24 April 2007 – Jabatan dan agensi kerajaan perlu
memanfaatkan geran pelancaran sebanyak RM80,000 untuk menubuhkan
Taman Asuhan KanakKanak (Taska) di tempat kerja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil berkata, kemudahan itu akan menggalakkan lebih
ramai wanita bekerja meningkatkan pendapatan keluarga serta membantu
pembangunan ekonomi negara.

“Penubuhan taska di tempat kerja dan pemberian subsidi yuran asuhan
ini diharap dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengasuhan
dan penjagaan kanak-kanak di negara ini,” katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat mengulas keputusan kerajaan meluluskan pemberian subsidi
yuran asuhan sebanyak RM180 bagi kanak-kanak berusia bawah empat
tahun untuk kakitangan awam berpendapatan di bawah RM1,200 sebulan
berkuat kuasa 1 April lalu.

“Ini merupakan perjuangan kementerian yang telah disambut baik dan
langkah pemberian subsidi ini pastinya akan membantu meringankan
tanggungjawab kakitangan awam,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kejadian kemalangan di Lenggong,
Perak kelmarin, Shahrizat berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) sedang mempertimbangkan beberapa skim bantuan yang bersesuaian
untuk membantu keluarga terbabit.

Katanya, ini termasuk bantuan segera Persekutuan bagi kawasan
Parlimen dengan kadar RM200 setiap mangsa dan bantuan kanak-kanak
atau bantuan anak pelihara secara bulanan kepada mana-mana pihak
yang memelihara anak-anak keluarga mangsa.

starline.gif

PUTRAJAYA 20 April 2007– Pegawai atau kakitangan awam yang
berpendapatan di bawah RM2,000 akan diberikan subsidi yuran
pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak berkuatkuasa 1
April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam
berkata, subsidi itu yang telah diluluskan kerajaan hanyalah untuk
anak yang dihantar ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang
dikendalikan oleh Bahagian Sumber Manusia di jabatan atau agensi
kerajaan.

Beliau berkata, subsidi ini terhad kepada anak yang berusia bawah
empat tahun sahaja.

“Bagaimanapun, jika yuran Taska yang dikenakan melebihi kadar
subsidi yang ditetapkan, bakinya perlu ditanggung oleh pegawai atau
kakitangan berkenaan.

“Sehubungan itu, permohonan untuk mendapatkan subsidi itu boleh
dibuat kepada Bahagian Sumber Manusia di jabatan atau agensi tempat
mereka bertugas,” katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4
Tahun 2007 – Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taska di Tempat
Kerja Sektor Awam yang dipetik dalam laman web JPA hari ini.

Ismail memberitahu, bagi permohonan yang telah diluluskan, pegawai
atau kakitangan awam terbabit perlu mengemukakan dokumen yang
berkaitan selewat-lewatnya pada 31 Disember setiap tahun kepada
Bahagian Sumber Manusia di jabatan atau agensi masing-masing.

Beliau menambah, langkah itu perlu bagi melayakkan pegawai atau
kakitangan awam berkenaan dipertimbangkan untuk mendapat subsidi
tersebut pada tahun berikutnya.

“Bagi yang menghantar anak-anak ke Taska di jabatan atau agensi yang
bukan tempat mereka bertugas, turut layak memohon.

“Subsidi tersebut perlu dibayar terus kepada pengusaha Taska yang
dilantik oleh jabatan atau agensi kerajaan,” katanya.

 

 

abcline4.gif

 

 

KUALA LUMPUR 21 Mac 2007- Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri
Mohd. Sidek Hassan, mahu semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian
mengambil tindakan sewajarnya untuk mewujudkan taman asuhan kanak-
kanak (taska) di kementerian masing-masing.

Beliau berkata, mereka perlu mencari jalan supaya kewujudan taska
itu dapat dilaksanakan seperti diperuntukkan oleh Kabinet bagi
kemudahan pegawai dan kakitangan kerajaan.

“Mereka perlu bertindak dan mencari jalan supaya ia (kewujudan taska
di kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun) dapat
dilaksanakan, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Sidek berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil kelmarin, yang tidak puas hati dengan sambutan
dingin sektor awam terhadap saranan mewujudkan taska untuk
kakitangan mereka walaupun kerajaan bersetuju menawarkan geran
sehingga RM80,000.

Shahrizat berkata, setakat ini hanya 26 kementerian, agensi dan
badan berkanun yang telah membuka taska untuk kakitangan mereka di
premis masing-masing.

Katanya, perkara itu berlaku kerana sektor awam tidak meletakkannya
sebagai satu keutamaan.

Menurut Mohd. Sidek, pihaknya menyambut baik, malah menggalakkan
kewujudan taska tersebut kerana ia diyakini memberi banyak kebaikan
dan kemudahan kepada kakitangan awam.

Bagaimanapun katanya, kekangan seperti ketiadaan tempat yang sesuai
mungkin punca kementerian, agensi atau badan berkanun masih gagal
mewujudkan taska berkenaan.

“Mungkin di pejabat sekarang tidak ada tempat dan mereka perlu
bertindak (mencari tempat sesuai),” katanya yang tidak menyatakan
tempoh bagi setiap kementerian mewujudkan taska itu.

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan pekeliling supaya
penubuhan taska itu dapat disegerakan, Mohd. Sidek berkata, semua
KSU akan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia merupakan kehendak
kerajaan untuk kebaikan semua pihak.

“Kita memang menggalakkan dan mereka akan mengambil tindakan
sewajarnya,” katanya.

erbt-468×60.gif

PUTRAJAYA 19 Mac 2007– Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kecewa dengan sambutan
dingin sektor awam bagi mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska)
walaupun kerajaan menyediakan geran sehingga RM80,000 sebagai satu
insentif.

Beliau berkata, setakat ini hanya 26 buah kementerian, agensi dan
badan berkanun yang telah membuka taska untuk kakitangan mereka di
premis masing-masing.

Katanya, perkara itu berlaku bukan kerana mereka (sektor awam) tidak
mahu membuka taska berkenaan di premis masing-masing tetapi mereka
tidak meletakkannya sebagai satu keutamaan.

“Harus diingat, jika lebih ramai kaum wanita berhenti kerja kerana
kesukaran untuk menjaga anak, ia akan memberi kesan yang serius
kepada pembangunan ekonomi negara.

“Lagipun, pembukaan taska berkenaan juga akan turut meringankan
beban kakitangan awam berpendapatan bawah RM2,000 kerana kerajaan
akan beri subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi
setiap anak berumur sehingga empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program
Keluarga @ Kerja anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga
Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Sehubungan itu, Shahrizat menyeru mana-mana kementerian, agensi dan
badan berkanun yang masih belum mempunyai taska untuk kakitangan
mereka agar berbuat demikian secepat mungkin.

“Ia juga sejajar dengan matlamat kementerian pada tahun ini untuk
memastikan tempat kerja khususnya di sektor awam adalah lebih mesra
keluarga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian menyasarkan lebih 11,700
peserta di kalangan kakitangan awam akan menyertai Program Keluarga
@ Kerja sepanjang tahun ini.

Katanya, program yang telah mendapat kelulusan Kabinet itu
menyenaraikan sebanyak 168 kursus dan ia akan bermula pada bulan
April ini.

“Saya akan memantau secara lebih dekat bagi melihat sejauh manakah
program itu akan mendapat sambutan di kalangan kaum lelaki.

“Jika sambutannya kurang memuaskan, saya akan mengadakan
perbincangan dengan KSN untuk tindakan selanjutnya, ” katanya.

jumprope.gif

KUALA LUMPUR 20 Dis. 2006– Lebih banyak kakitangan diperlukan bagi
membolehkan penguatkuasaan Rang Undang-Undang Akta Taman Asuhan
Kanak-Kanak (Taska) (Pindaan) 2006 yang pindaannya diluluskan di
Dewan Negara hari ini.

Tenaga kerja tambahan itu diperlukan bagi memastikan semua pengusaha
Taska mematuhi peraturan ditetapkan dan membolehkan tindakan tegas
dikenakan ke atas pengusaha Taska haram.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kakitangan itu akan
digunakan bagi menjalankan kerja-kerja penguat kuasaan seperti
tindakan kompaun, pendakwaan serta penyitaan premis Taska yang
beroperasi secara haram.

“Setakat ini hanya 1,896 Taska sah berdaftar manakala yang tidak
berdaftar jauh lebih tinggi iaitu 5,688 buah.

“Bilangan pengasuh tidak berdaftar pula dianggarkan seramai 9,850
orang dan kebanyakan kes kematian atau penderaan kanak-kanak di
Taska sebelum ini berlaku di pusat yang tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pindaan Akta
Taska 1984 di Dewan Negara, hari ini.

Menurutnya, di bawah Akta Taska 1984, Taska yang beroperasi tanpa
berdaftar boleh dikenakan denda RM1,000 bagi kesalahan pertama dan
tidak melebihi RM2,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Bagaimanapun katanya, dengan pindaan yang dibuat, denda kesalahan
pertama boleh dikenakan sehingga RM10,000 dan RM20,000 bagi
kesalahan kedua atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, beberapa senator yang membahaskan pindaan rang undang-
undang itu mengutarakan kebimbangan mengenai operasi Taska tanpa
lesen yang mungkin menimbulkan pelbagai masalah kepada kanak-kanak
atau pun ibu bapa.

Sebelum itu, Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed mendedahkan,
hampir 80 peratus daripada pengusaha Taska di negara ini beroperasi
secara haram dan sehingga sekarang masih gagal mendaftarkan operasi
mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Malah katanya, ada pemilik Taska yang mengemukakan lesen palsu bagi
mengaburi mata ibu bapa semata-mata untuk mengaut keuntungan cara
mudah.

book1.gif

___ __._,_.___